Sumber Gandaan Pendapatan

Apa perbezaannya antara anda dengan jutawan dan apa persamaan antara anda dengan jutawan? Akan ada pelbagai jawapan dari kita. Tetapi dalam konteks soalan diatas adalah menjurus kepada kualiti hidup diantara kita dan jutawan-jutawan yang ada diatas muka bumi ini.

Persamaan antara anda dengan jutawan adalah - kedua-duanya mempunyai akal dan 24 jam sehari.
Perbezaannya pula adalah - bagaimana kita menggunakan kedua-dua persamaan tersebut.

Cuba anda perhatikan betul-betul, mengapa ada orang yang membuat 3 pekerjaan sehari tetapi masih tak kaya juga. Ada yang mempunyai satu pekerjaan sahaja, tetapi walaupun hidup agak selesa, tetap tak kaya juga. Ada juga yang membuat satu pekerjaan sahaja tetapi pendapatannya sebulan seperti pendapatan menteri untuk setahun. Dan ada juga yang seperti langsung tak bekerja tapi pendapatannya sebulan berkali-kali ganda dari gaji tahunan 50 orang kakitangan Petronas.

Inilah perbezaannya. Mengapa boleh wujud jurang pendapatan yang sangat ketara seperti yang disebut diatas? Adakah kita semua sedar atau buat-buat tak sedar? Jika kita sedar, kenapa kita tak mencari bagaimana ia dilakukan? Jika ia boleh dicapai oleh orang lain, mengapa kita tak mencuba untuk mencapainya? Kenapa kita perlu cukup pada yang ada sedangkan kita tahu kita boleh mendapatkan lebih? Islam menggalakkan kita bersyukur. Antara bersyukur dan cukup dengan apa yang ada adalah dua perkara berbeza. Jangan cuba disamakan. Orang yang negatif, pasti akan mengatakan ia adalah sama dan mengatakan orang yang berusaha mencari kekayaan adalah orang yang tak bersyukur. Anda jumpa orang macam ni, anda jentik dahi dia..haha.

JENIS-JENIS PENDAPATAN

Usahawan atau pelabur-pelabur yang berjaya, mereka menggunakan konsep SUMBER GANDAAN PENDAPATAN (Multiple Source of Income). Apa itu Sumber Gandaan Pendapatan?  Sebelum itu, suka saya menjelaskan jenis-jenis pendapatan yang ada didalam dunia kita.

1. Pendapatan Aktif (Active Income)

Pendapatan yang memerlukan kita bekerja. Jika kita tak bekerja, pendapatan tak ada. Pendapatan ini adalah pendapatan sebahagian besar manusia yang ada dibumi. Ia dijana dengan bekerja didalam institusi kerajaan mahupun swasta. Ia adalah pendapatan yang penting sebagai pemula langkah kepada sesuatu yang lebih besar tetapi jika berlebihan, ia akan membuatkan kita terlalu sibuk dan kualiti hidup pun akan berkurang.

2. Pendapatan Pasif (Passive Income)

Pendapatan yang dijana dengan usaha yang minima bahkan tidak memerlukan kita berada disitu. Pendapatannya agak kecil diperingkat permulaan dan berkembang dari semasa ke semasa. Dijana dari hasil seperti sewaan hartanah, insurans dan MLM. Kelebihannya adalah boleh dibuat secara berlapis disebabkan usaha yang minima diperlukan untuk menjana pendapatan dan berisiko rendah. Tidak menjadikan kita sangat sibuk bahkan menjadikan hidup kita lebih berkualiti dan memiliki kelebihan untuk membuat PILIHAN.

3. Pendapatan Portfolio (Portfolio Income)

Pendapatan yang dijana dari pelaburan-pelaburan seperti saham, amanah saham, KWSP dan unit trust. Ia juga digelar PAPER ASSET. Pendapatan yang dijana tanpa memerlukan usaha yang besar dan boleh dijalankan secara berlapis. Tetapi risikonya mempunyai pelbagai. Ada yang rendah, pertengahan dan tinggi. Ia bergantung kepada potensi pendapatan yang kita inginkan. Jika kita inginkan pendapatan yang tinggi, kita mesti menanggung risiko yang tinggi seperti melabur dikaunter saham BSKL atau Forex. Jika kita ingin risiko yang rendah, kita melaburlah di unit amanah saham atau unit trust.

SUMBER GANDAAN PENDAPATAN

Setelah anda lihat definasi pendapatan seperti diatas, sepatutnya anda sudah tahu pendapatan yang manakah akan menjadi pilihan. Apa yang digambarkan sebagai sumber gandaan pendapatan adalah seperti ilustrasi dibawah -

Pendapatan Keluarga Muhammad Darwisy

(Pendapatan Aktif)

Gaji bulanan kita = RM3000
Gaji bulanan isteri = RM3000
Jumlah pendapatan kasar isi rumah = RM6000
Jumlah pendapatan bersih isi rumah = RM2000

(Pendapatan Pasif )

Sewaan rumah 1 = RM800
Ansuran bank = RM600
Jumlah bersih = RM200

Sewaan rumah 2 = RM1000
Ansuran bank = RM700
Jumlah bersih = RM300

Sewaan kedai = RM1500
Ansuran bank = RM1000
Jumlah bersih = RM500

(Pendapatan Portfolio)

Unit trust = RM70000 (Sumber KWSP)
ASB = RM50000
Saham Pertonas Dagangan = 15000 unit

Ilustrasi diatas adalah ilustrasi yang sangat logik untuk dicapai. Jika anda perasan, jumlah pendapatan tidak termasuk pendapatan portfolio adalah RM3000 dimana pendapatan tambahan sebanyak RM1000 dijana tanpa usaha yang besar pun. Pendapatan portfolio adalah sangat bagus sebagai pendapatan yang ditanam dalam jangkamasa panjang. Jika inginkan ia memberi hasil yang berkali-kali ganda, ia tidak boleh diusik atau digunakan melainkan jika ingin menambah jumlah pelaburan. Lebih besar pelaburan, lebih bagus.

Apa yang saya nak anda fokus adalah menambah lebih banyak pendapatan pasif. Walaupun pendapatannya tak besar, tetapi jika ia mempunyai lapisan yang banyak ia akan menambahkan NILAI ASET ANDA (networth) dan JUMLAH PENDAPATAN BULANAN (income) anda. Itu belum dikira jika kesemua ansuran bulanan telah selesai. Pendapatan bersih anda telah menjadi berkali ganda tanpa perlu memikirkan pembayaran ansuran bulanan dan aset tersebut telah menjadi aset tetap anda. Yang penting adalah ALIRAN TUNAI YANG PANTAS (FAST CASHFLOW).

KESIMPULAN

Pilihan ditangan anda. Jika anda lebih selesa bekerja tunggang terbalik setiap hari dan selesa dengan kualiti hidup anda sekarang, itu pilihan anda. Jika anda rasa perkongsian saya sangat bermanfaat, mulakan mencari ilmu dari mereka yang pakar dengan apa yang saya kongsikan diatas. Anda masih perlu belajar kerana untuk memulakan sesuatu, ilmu yang lebih dalam diperlukan untuk memahami selok-belok yang sebenar. Perkongsian saya lebih kepada membuka minda sesiapa sahaja yang membacanya dan ia adalah sangat boleh untuk dicapai.

Banyak lagi skill yang ada dan ia akan lebih memudahkan anda semua mencapai sasaran yang saya tekankan diatas iaitu ALIRAN TUNAI YANG PANTAS.

Jika ada sebarang pertanyaan, sila tinggalkan komen anda dibawah. Jika anda ingin kongsikan post ini kepada orang lain, silakan. Saya tak melarang kerana ilmu yang saya ada adalah milik Allah.

Terima kasih.

Faizul's Business Talk

Comments

Popular posts from this blog

Daftar Perniagaan

Skim Cepat Miskin

Siapa Jajah Siapa?