Malaysia dan Ekonominya.

Jika dikaji ekonomi Malaysia dan kita bandingkan dengan belanjawan yang dibentangkan baru-baru ini. Saya tidak melihat apa yang dibentang itu menunjukkan apa yang kita alami sekarang. Ya, mungkin betul KDNK kita bertambah dan dijangka bertambah tahun 2017 tetapi atas faktor apa sebenarnya?

Adakah kuasa membeli bertambah? Tidak. Adakah perniagaan-perniagaan di Malaysia bertambah maju? Tidak. Adakah pendapatan isi rumah bertambah? Tidak. Adakah hasil eksport kita bertambah? Pun tidak. Jadi apa yang berkembang sebenarnya? Malah gaji perkapita di Malaysia pun tak bertambah. Dari mana pihak kerajaan mendapat data pertumbuhan ini?

Jika dilihat dari video perbahasan belanjawan baru-baru ini oleh mantan Menteri Kewangan 2, apa yang pihak kerajaan laporkan adalah betul cuma ia tidak diambil secara menyeluruh. Kerajaan Malaysia cuma mengambil kira pendapatan melalui cukai GST yang dikutip bermula April 2016 yang lepas dan langkah rasionalisasi subsidi yang secara praktikalnya menambahkan pendapatan negara tetapi menguncupkan kemampuan pengguna itu sendiri. Sedangkan ekonomi sepatutnya dikira secara menyeluruh. Indikator-indikator ini mestilah mengambil kira pendapatan isi rumah, kemampuan pengguna berbelanja, tahap perkembangan perniagaan di Malaysia, kadar pengangguran di Malaysia dan banyak lagi.

Sila tonton video ini untuk pemahaman yang lebih baik tentang kedudukan kita sekarang.
https://www.youtube.com/watch?v=KB11xCmY4Vo&feature=share

Ada pun apa yang dilihat sebagai pertumbuhan KDNK adalah melalui kutipan-kutipan cukai dan langkah rasionalisasi subsidi sahaja. Apa gunanya kedua-duanya jika ia menyebabkan -

1. Kuasa membeli jatuh.
2. Rakyat panik dan takut berbelanja.
3. Perniagaan banyak yang gulung tikar.
4. Kos pengeluaran meningkat.
5. Pusingan modal dalam negara berkurang.
6. Pelabur memindahkan operasi pengeluaran ketempat lain.
7. Bank-bank mula menutup cawangan.
8. Kadar pengangguran meningkat.
9. Pembayar cukai pendapatan hilang kelayakan.
10. Nilai matawang terus jatuh.

Banyak lagi impak yang saya kira sudah dan bakal memberikan kita bencana ekonomi jika tidak disedari dan kerajaan dengan egonya masih rakus memerah keringat dan kemampuan rakyat terbanyak. Didalam video diatas, mantan Menteri Kewangan 2 ada menyebut tentang pembayar cukai di Malaysia. Secara menyeluruh, tenaga kerja di Malaysia adalah sebanyak 14 juta tetapi yang layak membayar cukai hanya 2.4 juta. Saya kira kalau diberitahu kepada sesiapa sahaja pun meraka boleh merumuskan bahawa sebahagian besar rakyat Malaysia adalah mereka yang tidak layak membayar cukai. Bermakna mereka tidak mampu membayar cukai pun.

Bila mereka tidak layak, bermakna mereka adalah golongan bawahan kerana cukai hanya dikenakan kepada meraka yang berkelayakan. Di Malaysia, mereka yang bergaji RM3500 sudah tidak layak membayar cukai. Jika mereka mempunyai tanggungan yang besar, gaji mereka RM4000 sebulan pun belum tentu melayakkan mereka membayar cukai.

Secara muslihatnya, ya, pendapatan negara bertambah tetapi secara menyeluruhnya pendapatan bertambah tetapi ekonomi menguncup. Perkara ini jika tidak dibedung, bakal menyebabkan KDNK yang dikatakan mengembang itu pun akan menguncup kerana impak dari langkah-langkah kerajaan sekarang baru menunjukkan tanda-tandanya sahaja. Semuanya akan menampak impak sebenar mungkin dalam masa satu tahun atau lebih.

Sebagai contoh GST. Sekarang pengguna lebih cenderung untuk membeli barang keperluan sahaja. Mereka sudah mula berjimat dan membeli barangan yang tidak dikenakan GST dan mengurangkan membeli barangan yang dikenakan GST. Bila pengguna berjimat, kutipan GST juga akan berkurang. Bila kutipan berkurang, KDNK pun berkurang. Logiknya jika kerajaan nak mengutip cukai GST yang banyak, perniagaan mestilah mampu membuat jualan yang besar supaya kutipan GST pun besar. Sangat mudah difahami tetapi sangat logik, betul tak? Jika ini terjadi maka para pemakan dedak akan mula menghasut dan memberi cadangan tahap sekolah tadika kepada PM kita iaitu menaikkan kadar GST. Pun logik jika diambil kira dengan keadaan dan barisan kabinet pemakan dedak yang ada sekarang.

Ada dua keadaan yang saya kira boleh saya terangkan secara ringkas sebagai pemahaman kita dimana satu yang sedang dipraktikkan oleh kerajaan dan satu lagi yang sepatutnya dilakukan oleh kerajaan.

1) Senario 1 - Amalan kerajaan sekarang.

Kerajaan kurang duit > Laksanakan GST > Mansuhkan subsidi > Hasil negara bertambah > Kemampuan membeli mula menurun > Kadar cukai masih sama > Perniagaan merosot > Pendapatan isi rumah menurun, kadar pengangguran menaik dan rakyat kurang berbelanja > Hasil cukai menurun > Perniagaan mula gulung tikar dan perbankan merosot > Kerajaan menaikkan kadar GST atau mansuh lebih banyak subsidi > Hasil naik > Ekonomi makin menguncup dan terus menguncup > Rakyat jatuh miskin, pembayar cukai makin kurang, kemampuan membeli terus jatuh, nilai matawang jatuh teruk > Malaysia jatuh dari negara membangun menjadi negara miskin atau muflis.

Tempoh kemungkinan 10 tahun dari sekarang.

2) Senario 2 - Apa yang patut diamalkan

Kerajaan kurang duit > Laksanakan GST secara minimum > Kekalkan subsidi > Kuatkuasakan undang-undang pencegahan rasuah secara menyeluruh termasuk menghapuskan pemberian BR1M dan insentif-insentif lain yang membuatkan negara menambah hutang > Hapuskan ketirisan > Amalkan penjimatan dari sudut pengurusan > Amalkan tender terbuka > Hasil sama tetapi lebihan bertambah > Hapuskan defisit > Kuasa membeli sama atau bertambah > Suntikkan lebih banyak dana untuk menggalakkan pertumbuhan perniagaan >Perniagaan terus maju > Aliran modal bergerak aktif > Perniagaan bertambah > Nilai matawang meningkat > Kos pengeluaran menurun > Pembeli bertambah > Pasaran mengembang hingga keluar negara > Hasil perniagaan bertambah bermakna hasil cukai meningkat > Keperluan tenaga kerja meningkat > Kuasa membeli meningkat > Taraf hidup meningkat bila pembayar cukai yang layak meningkat > Harga barang meningkat setara dengan kemampuan pengguna dan inflasi > Hasil kerajaan terus naik dan naik > Naikkan GST sedikit dan kekalkan subsidi > Pendapatan perkapita meningkat > Kos tenaga kerja meningkat > Kuasa membeli terus bertambah > Hasil cukai terus meningkat > Hasil eksport bertambah berkali ganda > MALAYSIA DITABALKAN SEBAGAI NEGARA MAJU.

Tempoh kemungkinan 10 - 20 tahun.

Iliustrasi diatas adalah dari saya sendiri berdasarkan pengalaman dan pemerhatian saya sendiri. Mungkin akan ada yang membantah berkenaan cadangan saya memansuhkan insentif-insentif seperti BR1M dan lain-lain lagi. Percayalah, nagara kita sedang tenat. Lebih banyak duit dialirkan tanpa sebarang usaha, lebih membuatkan rakyat Malaysia jadi malas dan tidak berkembang. Lebih malas kita, maka bertambah mundur rakyat Malaysia dari sudut pemikiran dan tingkah laku.

Insentif-insentif ini tidak langsung diamalkan oleh mana-mana negara maju dan negara membangun. Ia ibarat sebuah rasuah yang sangat halus bagi pemimpin mengekalkan kuasa. Kegilaan dan ketamakan ini boleh merosakkan institusi kerajaan Malaysia sendiri. Tetapi saya sangat menyokong jika kerajaan memberi insentif untuk isi rumah menambah anak. Lebih ramai anak, lebih ramai pengguna. Lebih ramai pengguna, lebih banyak peluang perniagaan untuk rakyat Malaysia. Secara tak langsung perniagaan di Malaysia bertambah maju.

KESIMPULANNYA

Dimasa ini kerajaan dan rakyat perlu berganding bahu untuk menyelamatkan ekonomi negara. Caranya adalah rakyat mesti menjadi lebih rajin bekerja atau berniaga. Kerajaan pula mestilah memastikan aktiviti aliran tunai didalam negara terus aktif. Apa yang terjadi sekarang adalah kerajaan menekan pengguna dan peniaga, rakyat pula semakin selesa memakan hasil suapan dari kerajaan.

Ini tidak baik sebenarnya. Pada saya, kita kena menjadikan sesebuah negara maju sebagai role model dan belajar dari meraka. Sebagai contoh Jepun, saya pernah melawat Jepun dan Jepun adalah negara terbaik yang pernah saya kunjungi. Rakyatnya sangat berdisiplin, kerajaannya sangat menghormati rakyat dan negara mereka sangat bersih.

Janganlah kita merasa ego dengan kuasa yang dikurniakan oleh Allah. Semuanya sementara sahaja. Kuasa bukanlah untuk kita tamakkan tetapi untuk kita kongsi. Jika sudah tidak mampu memikirkan perkara yang lebih baik untuk rakyat, berikanlah kepada orang lain ataupun kepada pemimpin muda yang lebih segar dan penuh dengan idea yang lebih membina.

Diharap post ini bermanfaat dan menambahkan lagi kefahaman kita keatas apa yang sebenarnya sedang berlaku sekarang. Ini semua adalah tanggungjawab kita semua. Setiap dari kita dilahirkan sebagai ketua. Kita adalah khalifah dibumi yang telah dipertanggungjawabkan oleh Allah sejak turunnya Nabi Adam A.S kebumi. Kerosakan dan kebaikan yang terjadi adalah dibawah tanggungjawab kita dan kita perlu menjawab bila tiba waktunya.

Wallahu'alam.

Faizul's Business Talk

Comments

Popular posts from this blog

Daftar Perniagaan

Skim Cepat Miskin

Siapa Jajah Siapa?