Usahawan Melayu Bakal Layu

Sejak 10 tahun kebelakangan ini, telah ramai usahawan-usahawan Melayu yang bangkit membina masa depan masing-masing dan meletakkan bidang keusahawanan sebagai satu tanggungjawab yang perlu dipikul atas dasar perjuangan membina ekonomi Melayu.

Jika sebelum itu, ramai Melayu yang mengamalkan konsep 'kau adalah kau, aku adalah aku', sekarang telah ramai yang mempunyai konsep yang lebih matang 'kejayaan kau adalah kejayaan aku juga'. Proses kematangan ini adalah sesuatu yang paling membanggakan saya kerana ia menerapkan semangat kerjasama sesama usahawan tanpa mengira siapa pun.

Saya amat bangga kerana saya adalah satu contoh usahawan yang dibantu oleh sahabat usahawan yang lain. Walaupun mereka lebih maju dari saya, mereka tetap membantu saya dan ada diantara mereka yang baru mengenali saya. Memang amat membanggakan. Jika pada peringkat permulaan saya telah dimomokkan bahawa usahawan Melayu adalah usahawan yang pentingkan diri. Ayat yang biasa didengar; 'Melayu ni tak macam Cina, kalau kau lagi maju dari dia, mulalah nak cari bomoh'.

Bila saya mulakan perniagaan dan mula untuk ber'networking', saya dapati apa yang dimomokkan adalah tak benar. Ya, mungkin ada segelintir usahawan otak lembab yang masih berfikiran sempit tetapi kebanyakannya adalah usahawan 'otai-otai' yang hanya menggunakan politik sebagai nadi perniagaan mereka. Hampir semua usahawan muda yang ada di Malaysia telahpun mencapai tahap kematangan dan mereka sangat mudah untuk didekati. Ini menunjukkan tahap kemajuan usahawan di Malaysia adalah ditahap yang sangat membanggakan.

Apa yang dibanggakan? Bukan jualan mereka yang besar tetapi tahap pemikiran mereka yang baik, telus, tak mementingkan diri, sentiasa bantu menbantu, ramah, tidak tamak dan sentiasa berkongsi ilmu malah mereka juga sentiasa menyumbangkan wang kepada pusat zakat, anak yatim dan orang yang berada didalam kesusahan akibat kemiskinan ataupun penyakit.

APA YANG BERLAKU?

Disaat usahawan-usahawan Melayu bangkit dan membantu kerajaan meningkatkan taraf hidup dan sosio ekonomi di Malaysia, mereka ditekan dengan bermacam-macam agenda yang bakal menarik mereka kebawah kembali. Mereka ditekan dengan perlaksanaan GST, kenaikan harga minyak, langkah merasionalisasikan subsidi, kejatuhan nilai matawang dan banyak lagi perkara yang dah terjadi dan bekal terjadi tak lama lagi.

Kesemua perlaksanaan pelik yang diperkenalkan kerajaan, bakal dan telahpun menunjukkan kesan yang besar di Malaysia. Saya ambil contoh GST. Satu perlaksanaan yang paling besar dan sangat gelojoh tanpa dikaji secara terperinci. Kenapa saya mengatakan begitu? Contoh yang paling ketara adalah berkenaan harga barang. Sebelum ini kerajaan telah menegaskan bahawa sebahagian besar barang akan mengalami penurunan harga, sedikit sahaja yang akan naik dan selebihnya tak berubah.

Tetapi, kenapa semua harga naik? Yang tak naik adalah yang telah diberitahu bahawa harga tak berubah dan ia semestinya barangan yang dikecualikan GST. Kenapa para menteri yang bijak pandai mengatakan harga tidak naik tetapi tetap naik? Siapa yang kurang bijak disini? Pengguna yang salah baca harga atau pelaksana yang tak melaksanakan GST tanpa kajian secara menyeluruh? Pelik bukan?

Saya beri satu contoh teori kenapa harga naik.

Sebelum perlaksanaan GST, terdapat satu cukai yang dinamakan Cukai Jualan ataupun CJ10. Cukai jualan ini adalah sebanyak 10%. Kebanyakan syarikat yang berdaftar dengan kastam diwajibkan untuk memasukkan 10% cukai ini didalam harga barangan. Dari peringkat pengilang, pengimport, pembekal dan sebahagian peruncit akan mengenakan cukai ini keatas setiap peringkat pembeli dari pemborong hinggalah ke pengguna. Sila lihat contoh kiraan dibawah -

Harga dari pengilang - RM10.00 + 10% = RM11.00
Harga dari pemborong - RM11.00 + 10% + 15% profit = RM13.915
Harga dari pembekal - RM13.915 + 10% + 15% profit = RM17.615
Harga peruncit - RM17.615 + 10% + 15% profit = RM22.29 atau RM22.30

Ilustrasi diatas adalah apa yang berlaku sebelum GST. Tinggi bukan? Ya, memang tinggi dan secara teori lonjongnya, GST sepatutnya menjadikan harga pengguna menjadi lebih rendah disebabkan cukai 10% digantikan dengan 6%.

Walaupun CJ10 tak diwajibkan kepada semua peringkat tetapi ia diwajibkan bagi pengilang, pemborong, pembekal dan pengeksport. Secara lansung bila sampai kepada pengguna, harga telahpun dimasukkan kedalam harga barang tanpa diketahui oleh pengguna kerana peruncit tak diwajibkan mendaftar CJ10 cuma harga yang mereka dapat telahpun dimasukkan kos cukai diperingkat pembekal. Apabila peruncit tidak diwajibkan maka mereka tak perlu paparkan cukai tersebut diatas resit mereka malah mereka sendiri tidak mengenakan cukai tersebut keatas pengguna tetapi telahpun dicukai oleh pembekal mereka.

Setakat ini anda boleh hadam?

Ok, ini yang sebenarnya terjadi selepas GST. Jika secara teori lonjong pak menteri mengatakan GST menurunkan harga barang, ya memang benar tetapi yang terjadi adalah seperti dibawah. Contoh perkiraan adalah jika diambil kira peruncit tidak berdaftar CJ10. Jadi harga yang sampai pada peruncit adalah harga diperingkat pembekal.

Harga dari pengilang - RM10.00 + 10% + 6% = 11.66 (GST boleh claim)
Harga dari pemborong - RM11.66 + 10% + 15% profit + 6% = RM15.63 (GST boleh claim)
Harga dari pembekal - RM15.63 + 10% + 15% + 6% = RM20.96 (GST boleh claim)
Harga dari peruncit - RM20.96 + 15% profit = RM24.10 (tak daftar GST, tak boleh claim)

Jika peruncit berdaftar sebagai pembayar GST, beliau boleh claim balik GST yang dikenakan keatas mereka. Jika tidak, mereka akan memasukkan harga termasuk GST didalam harga barangan tanpa pengetahuan pengguna.Tetapi point yang paling penting adalah, adakah cukai 10% sebelum ini telah dihapuskan sepenuhnya oleh pengusaha diperingkat yang lebih atas? Siapa yang pantau perkara ini?

Perkiraan diatas adalah bermula dari peringkat pengilang. Bagaimana pula dari peringkat pembekal bahan mentah? di Malaysia memang sinonim dengan istilah BARANG SENANG NAIK TAPI TAKKAN TURUN. Anda semua boleh lihat perkiraan diatas. Jika saya salah, saya minta maaf tetapi anda semua sendiri tahu dan sedar yang GST tak menurunkan harga barang. Teori diatas menguatkan lagi kenapa harga barang tidak turun walaupun setelah GST dilaksanakan.

PENGALAMAN SAYA

Saya sendiri, sebelum perlaksanaan GST, telah pergi ke ibu pejabat kastam bagi mendapatkan penerangan tentang pengiraan GST. Yang bestnya adalah, pegawai tinggi mereka pun pening dengan pengiraan GST dan tak yakin dengan ketelusan perlaksanaannya. Malah mereka sendiri tidak boleh memantau adakah harga yang sebelum ini telah dimasukkan cukai 10% telah sepenuhnya dihapuskan oleh kesemua peniaga atau tidak.

Saya adalah pengilang dan masalah saya yang paling ketara adalah harga bahan mentah. Harga memang sangat ketara tinggi dan ditambah dengan faktor kejatuhan nilai matawang kita lebih memburukkan keadaan.

Kesan perlaksanaan GST telah memberi ruang kepada pengusaha yang lebih besar mengaut keuntungan yang lebih banyak. Mereka mengambil kesempatan diatas kelembapan pemimpin kita berfikir dan mereka melakukannya tanpa melanggar undang-undang pun. Nampak gaya mereka lebih bijak dari 'mereka-mereka' yang merasakan diri mereka bijak..haha

Percayalah, jika perkara ini terus berlaku, usahawan Melayu bakal LAYU. Walaupun tak semua tetapi sebahagian besar dari mereka pasti akan menghadapi kegagalan hasil dari ketidakbijakkan pemimpin yang kononnya mendahulukan rakyat. Contoh diatas baru tentang GST, belum mengambil kira faktor lain yang sedang dilaksanakan sekarang.

In shaa Allah, usahawan seperti kami tak akan mengaku kalah dan akan terus berjuang walaupun terpaksa berjuang diarena politik.

Terima kasih.

Faizul's Business Talk

Comments

Popular posts from this blog

Daftar Perniagaan

Skim Cepat Miskin

Selamat datang