Syarikat YKK AP, Jepun

Saya ingin berkongsi sedikit pengalaman saya semasa berada di Jepun mengikuti program Jenesys 2016 dengan tema ekonomi. Semasa berada disana selama 9 hari, banyak aktiviti yang telah kami jalankan dibawah kelolaan Kerajaan Jepun dimana hampir kesemuanya bertemakan ekonomi. Bila saya sebut ekonomi bermakna antara aktiviti utama adalah belajar tentang perniagaan-perniagaan yang ada disana menerusi lawatan sambil belajar.

SYARIKAT YKK AP

Salah satu aktiviti yang paling berharga disana adalah dengan melawat kilang konglomerat antara yang terbesar di sana YKK AP. Saya rasa jika kita sebut jenama YKK pasti ramai dah tahu apa biz utama syarikat ini. Syarikat ini adalah pengeluar ZIP terbesar didunia. Mereka menguasai 90% pasaran zip dunia. Mereka mempunyai 206 kilang di 52 buah negara. Kilang terbesar mereka berada di Georgia, Amerika Syarikat dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 7 juta zip sehari. Tu baru satu kilang. Bayangkan berapa jumlah pengeluaran zip mereka sehari jika dicampur kesemua 206 kilang mereka. 

Inilah biz sebenar. Sejarah syarikat ini bermula pada 1932 dimana pengasas mereka, Yoshida yang pada masa itu berumur 24 tahun bekerja disebuah kilang zip. Tak lama selepas itu, syarikat itu bankrap. Pada tahun 1934, Yoshida menubuhkan syarikat zip beliau sendiri dan diberi nama Yoshida Kogyo Kabushikikaisha atau nama pendeknya YKK dan syarikat ini beroperasi di Nihonbashi, Tokyo.



Lawatan kami pada hari itu adalah disalah sebuah anak syarikat mereka, YKK AP. Syarikat ini terletak di Sendai, Miyagi. YKK AP merupakan syarikat yang menghasilkan produk berasaskan kayu dan aluminium. Antara produk yang mereka hasilkan disini adalah bingkai tingkap, perabot, dan bahan-bahan untuk binaan.

Syarikat ini mempunyai 14 cawangan diseluruh dunia di 11 buah negara dengan pengeluaran mereka yang terbesar adalah di China. Di syarikat ini sahaja mereka mempunyai 40000 tenaga kerja. Diulang sekali lagi - 40000 tenaga kerja. Bayangkan pula berapa ramai pula perkerja mereka di syarikat YKK yang mempunyai 206 kilang diseluruh dunia. Syarikat ini sangat besar dan mereka bukanlah syarikat kepunyaan kerajaan (GLC). Mereka adalah syarikat yang 100% swasta. Menakjubkan bukan?

SEKITAR LAWATAN

Sesampainya kami disana, kami disambut oleh pengurus dan pengurus besar bahagian operasi syarikat tersebut. Mereka sangat ramah dan membawa kami ketempat untuk sesi penerangan. Sesetengah dari kami yang telah penat dan ingin membuang air telah pergi dahulu ke tandas yang ada dibahagian bawah bilik sesi penerangan. Apa yang menakjubkan kami adalah tandas mereka adalah automatik. Bila pintu dibuka, penutup tandas akan dibuka secara automatik. Bukan itu sahaja, flush dan cucian selepas melepaskan hajat juga automatik. Ada juga sahabat dari negara yang lain terperanjat dan kami ketawa beramai-ramai dengan insiden itu. Tapi kami amat kagum dengan teknologi yang ada disana.

Setelah habis sesi penerangan, kami dibawa ke kawasan pengeluaran. Kami dilarang untuk mengambil gambar didalam kawasan pengeluaran dan ini mengecewakan kami. Sebelum kami dibawa masuk kedalam kilang, kami dibawa ketempat mengambil gambar dan ia adalah satu-satunya kawasan pengeluaran yang dibenarkan kami mengambil gambar. Ia merupakan sebuah taman yang direka untuk menghasilkan semula air bersih sebelum dihantar semula masuk kesungai. Taman rekaan itu mempunyai tali air seperti sungai yang dilengkapi dengan pokok-pokok hijau dan airnya dipenuhi dengan ikan. Airnya sangat jernih. Tujuan mereka menunjukkan taman itu adalah untuk menunjukkan kepada kami yang mereka sangat bertanggungjawab dalam isu pelepasan toksik ke dalam sungai untuk menjaga alam sekitar. 


Seterusnya kami dibawa masuk ke kilang mereka. Mereka membawa kami masuk hanya ke 3 tempat pengeluaran mereka; plant pemprosesan aluminium mentah, plant pemasangan pintu kayu dan pelan penghasilan wap (steam). Terdapat lebih dari 10 plant yang ada didalam kawasan pengeluaran seluas 80 hektar. Untuk kami pergi ketiga plant tersebut memerlukan kami menaiki bas kerana kawasannya sangat luas.

Banyak yang kami belajar dari teknologi yang ada disyarikat ini. Saya merupakan bekas kakitangan Petronas selama 13 tahun sangat kagum dengan keupayaan syarikat ini menjalankan pengeluaran mereka. Bukan sahaja berteknologi tinggi malahan kilang mereka sangat bersih. Apa perkara utama yang saya lihat didalam kilang mereka adalah -

1. Persekitaran yang sangat bersih. Tiada habuk kayu yang berterbangan walaupun ia kilang kayu.
2. Penggunaan lengan robot bagi mengurangkan masalah HUMAN ERROR.
3. Tahap keselamatannya hinggakan pekerja tak perlu memakai safety apparel secara maksima.
4. Mereka mengitar semula habuk kayu untuk dijadikan bahan api untuk menghasilkan wap.
5. Susun atur pengeluaran yang sangat bersistematik.
6. Semua staff mereka sangat mahir mengawal robot dan mesin.
7. Saya tengok tahap kerajinan staff pun dah sama macam robot..haha

Setelah selesai kami melawat kilang, kami dibawa semula ke bilik penerangan semula dimana kami diberi peluang untuk bertanyakan soalan. Kesemua rombongan kami yang terdiri dari 14 buah negara menunjukkan minat dan rasa kagum dengan bertanyakan banyak soalan. Sebelum kami bertolak balik ke hotel, kami dihadiahkan cenderamata iaitu pen dan keychain jenama YKK AP sebagai kenang-kenangan.



APA PENGAJARANNYA DISINI?

1. Sebuah perniagaan yang berjaya, tidak akan maju dengan pesatnya dalam masa yang singkat.
2, Jika kita membina perniagaan dan kita rasa susah, Lihat biz yang dibina masa perang, adakah lebih mudah?
3. Sistem yang baik, menghasilkan kualiti produk yang terbaik.
4. Jika kita diuji bila berniaga, bayangkan berapa besar ujian bagi syarikat sebesar YKK AP.
5. Penjenamaan sangat penting bagi memastikan perniagaan bertahan lama.
6. kekuatan sesebuah syarikat bergantung kepada siapa yang mengetuai syarikat tersebut.
7. Kita boleh buat apa sahaja biz asalkan kita buat dengan betul. YKK AP diilhamkan dari syarikat yang telah bankrap. Kenapa YKK AP boleh berjaya?
8. Jika kita nak syarikat menjadi lebih besar, kita kena lahirkan lebih ramai pemimpin dibawah kita.
9. Setiap biz pasti akan melakukan kesilapan, yang penting bagaimana kita selesaikan.
10. Tanggungjawab perniagaan bukan hanya untuk mencari keuntungan tetapi juga untuk menjaga alam sekitar, kebajikan staff, meningkatkan ekonomi dan sumbangan kepada masyarakat sekeliling.

Terima kasih kerana sudi membaca post ini sampai habis.

Diharap post ini bermanfaat kepada semua.


Comments

Popular posts from this blog

Daftar Perniagaan

Skim Cepat Miskin

Siapa Jajah Siapa?